Profil Sekolah

Ucapan Guru Besar

Tn Hj Khatta bin Jamaluddin, PJK

TN HJ KHATTA BIN JAMALUDDIN, PJK

Guru Besar
SK Seberang Perak

Assalamualaikum w.b.t

Bersyukur kehadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnianya kita diberi peluang untuk meneruskan usaha dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. Tugas sebagai pendidik di sekolah semakin mencabar dan memerlukan setiap warga sekolah sentiasa prihatin dengan perubahan yang berlaku dari semasa ke semasa. Tahniah kepada semua warga SK Seberang Perak yang telah menempuhi empat tahun dalam Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti.

Dengan adanya program TS25 ini saya harap sekolah ini mampu meneruskan amalan terbaik dalam pelaksanaan pengurusan dan kepimpinan serta pedagogi dalam pembelajaran dan pengajaran selari dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Kesanggupan kolaboratif setiap pihak, terutama warga sekolah ini yang sentiasa berusaha untuk menggembeleng tenaga mampu menjayakan setiap aktiviti dan program yang dirancang dalam memperkemaskan serta memantapkan lagi pelaksanaan proses pembinaan modal insan secara menyeluruh untuk membangunkan modal insan yang seimbang dan sejahtera.

Sesungguhnya, walaupun ia mengambil masa yang lama untuk menampakkan hasil, namun sistem pendidikan yang berwibawa akan menghasilkan modal insan berminda kelas pertama. Peranan guru kini adalah sebagai pembimbing yang dapat menyedarkan murid bahawa proses pembelajaran dan pemerolehan ilmu berlaku di mana-mana sahaja tidak kira masa sepanjang hayat mereka. Bagi mencapai matlamat tersebut, kita semua memulakan pendekatan terbaik bagi menyediakan pendidikan yang berkualiti demi mencapai tahap cemerlang seiring dan seterusnya berkesinambungan dengan kecemerlangan yang bakal dijana di peringkat menengah dan institusi pengajian tinggi.

Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua warga sekolah yang telah sama-sama berusaha dengan gigih dalam menghasilkan buku pengurusan Sekolah Kebangsaan Seberang Perak 2026 yang komprehensif ini dan bakal digunakan sebagai garis panduan untuk melaksanakan setiap aktiviti dan program yang dirancang. Pemantauan, penilaian dan penambahbaikan akan terus menjadi elemen yang akan ditekankan dalam kitaran perancangan bagi tujuan melonjakkan kecemerlangan selaras dengan sistem pendidikan negara.

TN HJ KHATTA BIN JAMALUDDIN, PJK
Guru Besar
SK Seberang Perak